Tuesday, December 10, 2024

~ SAMBAL HITAM LAGI ~

Assalammualaikum

Buah belimbing buluh dekat belakang pejabat awak ni memang tak berhenti berbuah. Seronok pula petik buah belimbing buluh yang besar - besar, macam petik buah anggur. Memandangkan tidak ada sesiapa yang ambil peduli akan buah belimbing tersebut, jadi awak petik lah sendiri simpan dalam peti sejuk. Rasa sayang apabila ianya jatuh dan busuk macam tu sahaja.

Tapi, bila dah petik banyak - banyak pula, peti ais awak pula yang dah tak muat. Nak simpan barang basah pun dah tak ada tempat. So, dengan kerajinan yang setipis bawang tu, awak masaklah belimbing buluh tu, untuk dijadikan pes sambal hitam.



Awak masak sampai air belimbing tu kering. Tapi tak adalah sampai hitam. Ikut pada selera masing - masing.


Ini pula sambal hitam yang sudah siap dipacking.

Entri mengenai Sambal hitam ada Di sini dan resepi sambal hitam by awak ada Di sini


~ SHELLOUT BY BADKITCHEN ~

Assalammualaikum

Makan Shellout di Badkitchen memang tak akan mengecewakan, sentiasa padu rasanya. Ada 3 jenis pilihan rasa shellout di Badkitchen. Awak dah lupa lah 3 jenis menu shelloutnya. Awak sekeluarga memang selalu akan pilih shellout masam-manis. Memang sedap dan semua cukup rasa. Anak - anak pun suka, sebab tak berapa nak pedas sangat. Sebenarnya adik ipar awak yang belanja kitaorang makan kat sini. Alhamdulillah rezeki kami pada malam itu.

Ada pelbagai jenis menu lagi sebenarnya dan bermacam - macam ada. Korang kalau ke Bagan Serai, Perak boleh lah singgah lepak makan di Badkitchen, awak berani jamin, menu - menu yang diaorang hidangkan memang tak akan mengecewakan korang. Servis diaorang pun cepat juga, walaupuan pelanggan ramai.


Nampak menyelerakan kan. Tak sempat nak ambil gambar banyak - banyak time ni, perut tengah lapar..hehehehehe


Monday, December 9, 2024

~ UBI YAKON ~

Assalammaulaikum

Sudah lama teringin nak rasa ubi yakon ni. Tengok diaorang review kat tiktok, macam lazat sangat - sangat. Weekend tadi awak, suami dan anak - anak berjalan - jalan di sekitar Pusat Bandar Bagan Serai, Perak. Sambil berjalan - jalan tu, awak ada ternampak peniaga buah menjual ubi yakon ni, dan terus awak minta suami belikan dengan harga RM15/kg.


Ubi yakon yang sudah siap dikupas kulitnya.

Rasanya macam makan buah sengkuang, tapi manis sedikit dari buah sengkuang. Bagi awak, memang sedap juga ubi yakon ni. Kami anak - beranak makan dengan kuah rojak agromas, memang lagi sedap dan kena dengan selera.


Saturday, December 7, 2024

~ WADAI KIPENG @ GAYAM ~

Assalammualaikum

Alhamdulillah, plan nak buat wadai kipeng bersama adik - beradik termakbul juga. Kami buat 1 kg tepung pulut, adunan tepung semua mak awak yang buat, kami adik - beradik hanya menggentel sahaja jadikan bentuk bulat dan leper. Sambil menggentel, sambil bergosip bermacam cerita, tapi tangan masing - masing laju buat kerja menggentel, selari dengan percakapan yang keluar. Hahahaha.....

Dalam masa yang sama, abah hanya mendengar sahaja kami orang perempuan berbual - bual, laki awak pula semangkuk sup kaki ayam dia telan dan adik ipar awak pula tengah mengendong anaknya yang baru 3 bulan, mundar - mandir macam ayam berak kapur.


Apabila sudah siap menggentel, mak awak terus memasak wadai kipeng tersebut. Kami adik - beradik perempuan masih sambung berbual - bual. Macam lama sangat tak berjumpa, walhal setiap hari berwhatsapp. Mak kata, siapa punya plan ni. Semua mak yang kena buat. Hehehehe...


Akhirnya siap juga wadai kipeng kami adik - beradik, opssss wadai kipeng emak sebenarnya.. Hahahaha..Selepas itu masing - masing ambil gambar dan terus muat naik dalam status whatsapp dengan caption 'Done Wadai Kipeng'.

~ CUCUR UDANG DAN PLAN NAK BALIK KAMPUNG ~

Assalammualaikum

Hari ini awak dan suami plan nak balik kampung, sambil tu nak pergi ziarah kubur arwah MIL & FIL. Malam tadi awak dah whatsapp mak awak yang awak akan balik tengahari ni. Sebelum gerak balik ke kampung yang tak jauh mana tu, hahahaha... Awak buat breakfast untuk orang dalam rumah ni dulu. Simple - simple je pun. Hanya cucur udang daun cekur. First time awak masukkan daun cekur, serius sangat sedap dan wangi je bau cucur udang awak tu.


Kejadian cucur udang awak. Awak suka makan yang garing - garing. kalau ada laksa, lagilah sedap. Awak orang banjar, kalau makan laksa memang akan letakkan cucur udang sebagai bahan utama semasa nak makan laksa.


So, tengahri ni, kami anak - beranak akan makan kat rumah mak & abah. Adik - beradik lain pun akan join sama, barulah meriah walaupun jumpa sekali - sekala. 


Ini ada unsur kecemburuan hahahaha..hanya guraun adik - beradik sahaja, memang tak akan ambil hati pun masing - masing kalau ada gurauan kasar. Petang ni plan dengan adik - beradik nak buat wadai kipeng. Harap - harap menjadilah plan ni.

Thursday, December 5, 2024

~ SEMOGA IMPIAN NAK KURUS BALIK TERCAPAI ~

Assalammualaikum

Tiap - tiap tahun awak berazam nak kurus. Tapi impian nak kurus tu punah ke laut dalam. Tapi, baru - baru ni, awak ada timbang berat, rasa gerun tengok angka yang tertera. Bila berat makin bertambah, badan pun mudah masuk angin, lesu dan asyik nak tidur. Risau pula akan mendapat penyakit yang tak diundang bila tak dicegah dari awal. Rasa macam dah terlambat je...hehehehe

Awak telah daftar kelas senaman atas keizinan suami. Suami pun support usaha awak nak kurus 100%. Alhamdulillah, setakat ini masih tak culas dalam menghadiri kelas senaman setiap minggu. Semoga awak terus istiqomah dalam usaha nak kurus dan menjaga kesihatan dengan baik.


Sebelum nak pergi kelas senaman selfie dahulu


Saturday, November 30, 2024

~ IKAN SEPAT GORENG ~

Assalammualaikum

Malam ini terasa sangatlah bosan. Tambahan pula, mata tak boleh nak lena, mungkin penangan awak minum kopi petang tadi. So, malam ini tertaip lah entri mengenai ikan sepat goreng.

Petang semalam abah awak ada singgah ke rumah awak. Dia datang bagi ikan sepat yang telah siap siang oleh mak awak. Rasa terharu sangat - sangat. Tambahan pula ikan sepat tu memang favourite kami anak - beranak. Selalunya awak akan goreng sahaja dan makan dengan cili potong dan kicap, masak sambal dan asam pedas cair. Tapi, Awak paling suka kalau mak awak masak sambal.


Ikan sepat yang dah siap digorang

Kisah ikan sepat ni, terlampau banyak untuk awak kenangkan sejak zaman awak kecil - kecil dahulu. Inilah menu setiap hari kami sekeluarga. Zaman awak dahulu ikan sepat tak payah beli, hanya sauk, menangkoi dan tahan menggunakan tempirai di parit atau telaga di tepi rumah awak sahaja. Alhamdulillah, memang banyak hasil ikan yang akan dapat.

Aktiviti beramai - ramai bersama jiran tetangga akan turun ke parit apabila musim air kering untuk mencari ikan sepat ni. Awak tak terkecuali, mesti nak turut sekali bersama mak awak. Waktu tu, ada yang menjala, ada yang menangguk dan juga menahan pukat. Sangat - sangat seronok apabila hasil ikan yang diperolehi memenuhi plastik baja.

Ikan sepat yang kecil, mak awak akan jadikan ikan kering. Ikan kering sepat pula, boleh tahan lama kalau disimpan dengan betul. Awak suka makan ikan sepat kering dengan pulut dan letakan kicap kipas udang sedikit, memang sangat - sangat sedap. Rindunya nak makan macam tu lagi, berebutlah kami adik - beradik kalau mak buat menu macam tu.

Sekarang, ikan sepat pun susah nak dapat. Anak - anak muda zaman sekarang mungkin ada yang tak kenal dengan ikan sepat. Harga ikan sepat pun boleh tahan sekarang ni, kata mak awak, harga ikan sepat RM23/kg bagi area kampung awak. 

Nak cerita pasal ikan sepat goreng, tapi dah melalut ke zaman - zaman kecil pula dah. Harap semua pembaca tak bosan lah.


Thursday, November 28, 2024

~ ASAM TEMPOYAK IKAN PATIN ~

Assalammualaikum

Menu asam tempoyak ikan patin adalah salah satu  menu kegemaran awak dan keluarga. Kiranya, menu ni wajib dibuat sebulan sekali. Nak dapatkan ikan patin pun sangatlah mudah. Area kawasan tempat tinggal awak ada pengusaha menternak ikan patin. So, bila - bila masa sahaja awak akan oder ikan patin kat pengusaha tersebut. Diaorang siap siangkan dan basuh lagi, amat - amat memudahkan awak. Tempoyak pula, awak beli kat pejabat awak. Maklumlah, pejabat awak ada kilang pemprosesan buah - buahan segar. So, salah satu produk yang dikeluarkan adalah tempoyak.




Sekiranya ada permintaan dari peminat asam tempoyak ikan patin, awak akan buat frozen. Alhamdulillah, mendapat sambutan. Biasalahkan, hanya segelintir orang sahaja yang suka makan ikan patin ni.

Tuesday, November 26, 2024

~ JERUK AMRA @ BUAH KEDONDONG ~

 Assalammualaikum

Tempat awak, kami panggil buah amra. Sejujurnya, awak memang tak reti nak makan buah ni mentah - mentah macam tu. Tapi, kalau dah jadi jeruk, barulah awak boleh telan.

Resepi jeruk ni mudah sangat. Rasa jeruk amra pun sangat sedap. Korang pun boleh try juga buat sendiri.


Awak hanya masukkan air garam, asam boi dan buah amra yang sudah dibuang kulit sebiji - sebiji ke dalam balang dan biarkan sampai 4 jam, nak lagi sedap letak di dalam peti sejuk. Selepas itu dah boleh dimakan.

~ ALHAMDULILLAH, DAH ADA RUMAH SENDIRI ~

Assalammualaikum

Sejak kebelakangan ini, terrajin pula awak nak mengupdate entri dalam blog kesayangan. Kalau boleh semua cerita awak nak ceritakan. Tapi, itulah manusia, ada sikap malasnya. Hahahaha.

Rumah sendiri yang awak, suami & anak - anak tinggal sekarang sudah hampir 2 tahun kami miliki. Mula - mula dapat kunci rumah, macam  - macam idea nak mendeko. Tapi tulah, memerlukan bajet yang tinggi. So, kami suami isteri hanya mampu mendeko ala kadar sahaja mengikut bajet yang kami ada.

Hampir sebulan juga kami habiskan masa nak siapkan semuanya sebelum betul - betul kami pindah ke rumah baru kami tu. 80% daripada keseluruhannya, kami deko mengikut kreativiti sendiri serta idea secara sambil lalu.

Barang - barang seperti Cooker hood, Peti sejuk, Mesin basuh, Mesin pengering, Oven dan Microwave adalah hasil simpanan suami dari moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman semasa PKP tempoh lalu. Bersyukur sangat kerajaan bagi bantuan tersebut kepada rakyatnya, sangat - sangat membantu awak dan keluarga dalam merancang ekonomi keluarga kami.

Bahagian cat - mengecat pula memang 100% awak mengecat sendiri. Suami awak hanya tengok sahaja awak buat semua tu. Bukannya apa, sakit mata awak tengok dia mengecat, memang tiada seni langsung. Kod warna cat pilihan kami adalah Early Rain. Seriusly, cantik warnanya. Nampak rumah lebih luas dan mewah.

Akhirnya, penghujung bulan 12 tahun 2022, kami sekeluarga berpindah ke rumah baru kami. Masih banyak lagi yang perlu ditambah baik untuk keselesaan kami sekeluarga. Awak sangat bersyukur Allah permudahkan semua urusan kami sekeluarga dari pindah rumah serta renovate rumah serba sedikit.


Ruang tamu kami sekeluarga. 


Ruang makan


Antara ruang dapur & mendobi digabungkan sekali. Biasalahkan, rumah tak besar mana. Awak gunakanlah ruang yang ada dengan sebaik yang mungkin.


Ruang gosip mak - mak. hahahahahaha


 
Ruang lepak santai, sambil masak boleh tengok tv. Tapi sampai kesudah, jarang kami buka TV kat ruang ni. Masing - masing sekarang ni dengan HP.

Penat, memang sangat penat dalam aktiviti berpindah rumah ni. Segala barang di rumah lama perlu dikemas dan diasingkan untuk digunakan semula atau dibuang. Awak tak mengguna khidmat sewa lori semasa berpindah, memandangkan barang - barang yang kami miliki di rumah sewa, hanya barang - barang kecil sahaja. So, abah bagi pinjam kenderaanya (Hilux) untuk angkat semua barang ke rumah baru kami. Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga kami harungi bersama - sama untuk mendapat rumah yanng selesa. Semoga Allah permudahkan urusan kami dan murahkan rezeki kami sekeluarga.

Bahagian bilik tidur akan awak update dan buat entri lain.

Monday, November 25, 2024

~ TOMYAM AYAM ENCIK SUAMI ~

 Assalammualaikum

Tomyam ayam yang laki awak masak, memang tak pernah mengecewakan. Rasa dia tetap padu. Rasa - rasa tomyam je la kot yang dia pandai masak. Bahan - bahan nak masak memang awak sediakan semuanya. Kalau tak sediakan semuanya, memang dapur tu macam tongkang pecah jadinya, hal ini pun boleh jadi punca perdebatan sengit selama seminggu, mungkin akan jadi berminggu - minggu. hahahaha


Alhamdulillah, hasilnya memang sedap. Ada juga awak tanyakan, apa resepi tomyam dia sedap sangat. Dia cakap biarlah rahsia. Ok fine, senang kerja awak, time nak masak tomyam, biar laki awak jelah yang masak.


Yang penting sekali, dapur awak tak jadi macam tongkang pecah dibuatnya. hehehehe

Wednesday, November 20, 2024

~ KERABU MANGGA ~

Assalammualaikum

Balik rehat tadi terus awak bergegas ke dapur untuk masak hidangan tengahari. Kejadian seperti ini sangatlah jarang - jarang berlaku. Awak selalunya akan beli lauk - pauk yang dah siap masak di kedai. Tapi hari ini super rajin datang tiba - tiba. hahahaha.

Dengan sepantas kilat hampir 1 jam siap juga juadah makan tengahari kami anak - beranak. Kerabu mangga dengan sambal udang. Kerabu mangga tu ambil masa sedikit nak siapkannya, sebabnya merata tempat awak mencari penyagat mangga. Dimana lokasainya pun awak tak tahulah. Mungkin dah terbuang rasanya. Terpaksalah awak menggunakan kuasa tangan secara manual. Lenguh habis tangan - tangan nak perisi 4 biji buah mangga pun. 


Alhamdulillah... sedap rasanya


Dah siap semuanya, awak ngap duluan, tak tunggu dah yang lain - lain, sebab awak nak masuk pejabat pula.


Tuesday, November 19, 2024

~ KERABU CEKUR ~

 Assalammualaikum

Bulan lepas adik - beradik suami datang ke rumah awak. So, laki awak pun minta buatkan kerabu cekur yang selalu arwah mil buat. Resepinya, awak google je. Ingat - ingat lupa dah masa arwah MIL bagi resepi kerabu cekur ni kat awak.

Inilah kejadian kerabu cekur awak tu. Alhamdulillah semua suka. Laki awak siap ratah macam tu je, maknanya sedaplah tu. hehehehe.


Selain itu, awak sediakan pencuci mulut, Koktel Mangga.


~ KEK COKLAT MOIST ~

 Assalammualaikum

Pada 05.10.2024 adalah tarikh lahir anak awak yang ke-12 tahun. Cepat sangat anak - anak membesar, rasa tak percaya awak dah ada anak dara, tahun depan dah nak masuk tingkatan 1. Awak buat sambutan Hari jadi anak yang sulung ala kadar sahaja. Sambut bersama kami anak - beranak je pun.

Dia request tak nak ada kek, tapi rasa macam tak best pula bila tak ada kek. So, awak pun buat - buat rajin lah nak membuat kek untuk sambutan hari jadi si kakak. Yang terpaling kalut adalah si adiknya, dia dah tak sabar nak membantu awak nak membuat kek coklat untuk si kakak, nak buat suprise katanya.

Dari mula sampailah siap keknya, si adik memang rajin membantu awak. Tapi, tu la, kena sabar lah dengan ragamnya. Elok 1 jam boleh siap keknya boleh jadi 2 jam. Sabar jelah awak time tu.


Siap pun untuk kek si kakak. Simple je pun awak dan adiknya deko.


Yang ni pula kek untuk si adik. Dialah yang mendeko sendiri keknya. Awak layankan jelah.

Sekali bancuhan kek yang awak buat, dapatlah 2 biji kek seperti di atas. 


Resepi Kek Coklat Moist

3 biji telur
1 cawan gula
1 cawan serbuk koko
1 cawan susu cair
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
1 sk assence vanila

Blender bahan - bahan di atas dalam 5 minit.

2 cawan tepung gandum
1 sk baking powder
1 sk soda bikarbonat

Masukkan dalam bekas lain, dan gaul sekata

* Masukkan bahan yang diblender didalam bekas besar, kemudian masukan tepung tadi sikit demi sedikit dan gaul bagi sekata. Kukus didalam loyang selama 45 minit.

Thursday, November 7, 2024

FAMILY MAT SANI & RAHMAH 2024

 Assalammualaikum

My family bagi tahun 2024. Tahun depan, Insyaallah mugkin ada lagi seorang bakal dilahirkan, maka bertambahlah bilangan dalam keluarga awak. Semoga ukhwah kami adik - beradik sentiasa terjalin dengan baik dan dirahmati oleh Allah.


Mak  & Abah (Mat Sani & Rahmah)


Iwan & Yana family (Anak lelaki sulung mak abah)


Family awak (anak kedua mak abah)


Akhma (Anak ke-3 mak abah). Masih single and available 😀


Aein & saiful family (anak ke-4 mak abah). Tarikh 04.9.2024 telah melahirkan baby comel yang bernama Hawa Rania.


Adam (anak ke-5 mak abah). Masih single, maybe not available.


Amat & Ina Family ( anak ke-6 mak abah)


Alif (anak ke-7 mak abah). Masih single dan available


Tasya & Ashraf Family ( anak ke-8 atau anak bongsu mak abah)


Flower girl mak abah


Bodygurd abah


Keluarga besar mak abah. Sayang korang semua.

~ SAMBAL HITAM LAGI ~

Assalammualaikum Buah belimbing buluh dekat belakang pejabat awak ni memang tak berhenti berbuah. Seronok pula petik buah belimbing buluh ya...