Assalammualaikum
Malam ini terasa sangatlah bosan. Tambahan pula, mata tak boleh nak lena, mungkin penangan awak minum kopi petang tadi. So, malam ini tertaip lah entri mengenai ikan sepat goreng.
Petang semalam abah awak ada singgah ke rumah awak. Dia datang bagi ikan sepat yang telah siap siang oleh mak awak. Rasa terharu sangat - sangat. Tambahan pula ikan sepat tu memang favourite kami anak - beranak. Selalunya awak akan goreng sahaja dan makan dengan cili potong dan kicap, masak sambal dan asam pedas cair. Tapi, Awak paling suka kalau mak awak masak sambal.
Ikan sepat yang dah siap digorang
Kisah ikan sepat ni, terlampau banyak untuk awak kenangkan sejak zaman awak kecil - kecil dahulu. Inilah menu setiap hari kami sekeluarga. Zaman awak dahulu ikan sepat tak payah beli, hanya sauk, menangkoi dan tahan menggunakan tempirai di parit atau telaga di tepi rumah awak sahaja. Alhamdulillah, memang banyak hasil ikan yang akan dapat.
Aktiviti beramai - ramai bersama jiran tetangga akan turun ke parit apabila musim air kering untuk mencari ikan sepat ni. Awak tak terkecuali, mesti nak turut sekali bersama mak awak. Waktu tu, ada yang menjala, ada yang menangguk dan juga menahan pukat. Sangat - sangat seronok apabila hasil ikan yang diperolehi memenuhi plastik baja.
Ikan sepat yang kecil, mak awak akan jadikan ikan kering. Ikan kering sepat pula, boleh tahan lama kalau disimpan dengan betul. Awak suka makan ikan sepat kering dengan pulut dan letakan kicap kipas udang sedikit, memang sangat - sangat sedap. Rindunya nak makan macam tu lagi, berebutlah kami adik - beradik kalau mak buat menu macam tu.
Sekarang, ikan sepat pun susah nak dapat. Anak - anak muda zaman sekarang mungkin ada yang tak kenal dengan ikan sepat. Harga ikan sepat pun boleh tahan sekarang ni, kata mak awak, harga ikan sepat RM23/kg bagi area kampung awak.
Nak cerita pasal ikan sepat goreng, tapi dah melalut ke zaman - zaman kecil pula dah. Harap semua pembaca tak bosan lah.
No comments:
Post a Comment